18/06/2026
✨ All roads lead to Gawai Dayak 2026!
With the iconic Niti Daun Parade, vibrant cultural showcases, and exciting surprises yet to be revealed, anticipation is building for one of Sarawak’s most celebrated cultural events.
📍 Tebingan Kuching Waterfront
📅 20–21 June 2026
A celebration of heritage, culture, and unity awaits. Are you ready? 🎊
GAWAI DAYAK 2026 BAKAL TAMPIL BEBERAPA KEJUTAN ISTIMEWA
KUCHING, 15 Jun — Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang akan berlangsung pada 20 dan 21 Jun ini bakal mengetengahkan keunikan warisan budaya masyarakat Dayak sebagai lambang perpaduan, keharmonian dan identiti Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pelbagai pengisian menarik telah disusun bagi memeriahkan sambutan tersebut termasuk Perarakan Niti Daun yang dijangka menghimpunkan 99 kontinjen dari seluruh Sarawak serta penyertaan khas dari Sabah.
Menurut beliau, perarakan berkenaan akan bermula dari Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Tebingan Kuching, sekali gus menjadi antara acara kemuncak yang sentiasa mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dan pelancong setiap tahun.
“Gawai sentiasa istimewa. Sebab itu terdapat beberapa pengisian yang masih dirahsiakan buat masa ini. Yang pasti, akan ada penyertaan kontinjen dari Sabah dan beberapa kejutan lain yang akan diumumkan pada hari sambutan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Uggah berkata sambutan tersebut bukan sahaja bertujuan memelihara dan mempromosikan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara kaum serta mempamerkan keharmonian yang menjadi kekuatan Sarawak.
Menurut beliau, Perarakan Niti Daun akan dimulakan dengan upacara adat Miring pada jam 1.15 petang sebagai simbol penghormatan terhadap warisan budaya serta usaha mengekalkan keaslian tradisi masyarakat Dayak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadualkan hadir menyaksikan perarakan tersebut sebelum menyempurnakan gimik pelancaran menerusi ketukan Tawak sebanyak tujuh kali.
Sementara itu, kemuncak sambutan akan berlangsung pada malam 21 Jun menerusi Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Majlis berprestij itu dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, selain Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak.
Menurut Uggah, malam kemuncak sambutan akan diserikan dengan pelbagai acara simbolik termasuk Bebiau Pengabang, Gawai Toast serta pementasan teater muzikal eksklusif bertajuk Ruai to the World yang mengetengahkan keunikan budaya dan warisan masyarakat Dayak kepada khalayak yang lebih luas.
Beliau berkata penganjuran sambutan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam memelihara warisan budaya pelbagai kaum sambil memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kepada kemajuan negeri.—SF