03/11/2016
Misi memilih perniagaan (Episod 1)
Setelah suami diberhentikan kerja, aku dan suami terfikir mahu berniaga. Suami hanya dapat 3 bulan gaji sebagai pampasan.
“Nak berniaga apa ye?”, hati kecilku berkata.
Aku mula berfikir sedang aku duduk di sofa ruang tamu rumahku. Aku mula membelek-belek handphone tercari sesuatu. Tiba-tiba ternampak iklan ‘Business Preview Anis Coffee’. Anis Coffee kini memiliki lebih dari 30 cawangan di seluruh Malaysia. Hatiku seakan berminat menjadi rakan niaga Anis Coffee.
“Ya Allah, engkau lebih mengetahui apa yang terbaik buatku dan suami”, hatiku berkata lagi.
Aku teringat firman Allah:
“Boleh jadi kamu bencikan sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu, tetapi ia tidak baik buatmu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
[Al-Baqarah : 216]
Aku lalu menunaikan solat istikharah. Selesai solat, aku membaca doa solat istikharah.
Kata Jabir Bin Abdullah r.a, “Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dalam al-Quran, sabdanya, ‘Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini (yang bermaksud):
“Ya Allah, aku memohon petunjuk-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa, sedang aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau Maha Mengetahui segala perkara ghaib. Ya Allah, seandaainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan…) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatkanlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku cepat atau lambat, maka jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhakanlah aku terhadapnya.” [Al-Bukhari 7/162]
Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanya Penciptanya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati menangani persoalannya.’”
Allah berfirman:
“Dan berbincanglah dengan mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik). Dan apabila kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah” [Ali ‘Imran : 159]
Sungguh indah doa yang diajarkan Rasulullah SAW di atas. Air mataku pantas mengalir menghayati setiap ayat. Sungguh aku menyedari yang aku sememangnya tidak punya kuasa dan tidak mengetahui. Aku mengharap limpah kurnia Allah dan memberikan kebaikan buatku dalam apa jua keadaan. Semoga aku redha menerima ketentuan Allah.
Apakah petunjuk yang aku dapat? Bagaimanakah al-Quran menjawab persoalanku? Nantikan sambungannya…