12/05/2025
KEHANGATAN PEMILIHAN PARTI 2025 PARTI KEADILAN RAKYAT ā CALON TIMBALAN PRESIDEN
Umum mengetahui bahawa pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kini telah selesai di peringkat Cabang dan sedang melalui fasa pemilihan bagi peringkat pusat. Berbeza dari parti lain, KEADILAN mengamalkan sistem satu anggota-satu undi dengan maksud untuk menyuburkan semangat demokrasi dan meraikan suara akar umbi.
Kini, kehangatan pemilihan PKR diperingkat pusat mula dirasakan terutama apabila buah mulut tentang calon Timbalan Presiden menjadi bualan bukan hanya diperingkat akar umbi KEADILAN, malahan masyarakat kebanyakannya.
Atas dasar ini, KEADILAN Cabang Permatang Pauh ingin menyatakan suara dan sekaligus berharap akar umbi seluruhnya menilai dari sudut rasional dan tidak dipengaruhi oleh khabar angin yang berlegar tanpa kepastian yang jelas. Jika dilihat dari sudut asas pemilihan parti, ini adalah wadah yang sempurna bagi sesebuah parti untuk menyegarkan dan memberi nafas baru dari sudut kepimpinan dan pengukuhan organisasi.
Keunikan KEADILAN dengan memberi peluang buat anggota seluruhnya melalui sistem yang diperkenalkan membuat keputusan adalah suatu bukti KEADILAN melaksanakan prinsip karomah insaniah yang didokong parti. Akan tetapi, walau dengan pelbagai cara yang digunapakai mana-mana parti, tetap tidak dapat lari dari pertembungan pendapat akar umbi-pujian buat KEADILAN bagi sudut keberanian melaksanakan sistem ini.
JUSTIFIKASI DAN KEWAJARAN PENCALONAN NURUL IZZAH ANWAR SEBAGAI TIMBALAN PRESIDEN?
Dalam suasana pertembungan pendapat yang sedang berlaku ini, Nurul Izzah Anwar tiba tepat pada waktunya untuk tampil menawarkan diri selaku Timbalan Presiden bagi memikul tanggungjawab bagi mendamaikan dan menyingkirkan sejarah hitam yang terjadi ketika pemilihan parti 2018 yang lalu-menyatukan semula semua pihak yang telah terkesan dari pecahan kelompok yang tidak sepatutnya wujud.
Regenerasi dan pembaharuan dalam KEADILAN perlu dititik beratkan kini agar bibit-bibit perpecahan yang berlaku dahulu tidak lagi berulang. Sebagai āPuteri Reformasiā, KEADILAN Permatang Pauh melihat Nurul Izzah Anwar adalah susuk tubuh yang tepat untuk mendamaikan dan menyatu padukan akar umbi seluruhnya melalui jawatan nombor dua KEADILAN.
Nurul Izzah Anwar merupakan individu yang kenal benar dengan prinsip perjuangan KEADILAN kerana bukan hanya atas faktor āPuteri Reformasiā, akan tetapi sejak dari parti ditubuhkan, beliaulah antara watak utama bersama pejuang lain yang ingin memastikan prinsip dipertahankan dengan penuh hikmah-dikala parti memerlukan keanjalan dan fleksibiliti dalam mendepani segala cabaran di hadapan.
Agenda pemerkasaan Cabang, akar umbi dan pembinaan jentera secara inklusif yang ingin dibawa beliau amat diperlukan parti ketika ini berbanding pendekatan keras dan selektif yang seharusnya dielakkan. Mengambil contoh pendekatan KEADILAN Permatang Pauh dimana sentuhan Ranting dan akar umbi telah pun digerakkan secara intensif pasca PRU-15. Pendekatan yang sama bakal diterapkan ke seluruh pelusuk negara melalui Cabang-Cabang di setiap negeri.
HANGATNYA PEMILIHAN?
Nurul Izzah Anwar dalam fasa menawarkan diri untuk jawatan ini, tidak pernah sekalipun membawa sesuatu yang berlawanan dengan etika pemilihan. Beliau lebih gemar menyuarakan visi dan pembaharuan yang ingin dilaksanakan. Ketika kehangatan pemilihan dimarakkan dengan tohmahan terhadap beliau, pertikaian terhadap sistem pemilihan yang sebenarnya membuka pekung parti, sikap merendahkan dan melabel anggota parti dengan pelbagai tohmahan, Nurul Izzah sedikit pun tidak mahu untuk menambah luka dengan membalas kenyataan yang tidak sepatutnya-bersesuaian dengan visi beliau untuk mendamaikan dan menyatupadukan.
Jika dipertikai tentang kewajaran beliau untuk memegang jawatan nombor dua itu, beliau sememangnya teruji dan terbukti. Nurul Izzah Anwar seperti yang dikenal adalah seorang pemimpin yang telah terbukti kalis cabaran sedari usia remaja dengan peristiwa Reformasi 1998, telah disenaraikan sebagai antara 30 individu berpengaruh dunia melalui āProject Syndicate Forward Thinkers Listā dalam bidang akademik, penggubalan dasar, masyarakat sivil dan sektor swasta. Beliau juga pernah memimpin jentera pilihanraya pusat parti pada PRU-13 sehingga membawa kepada kemenangan 47 kerusi marginal.
TERLALU AWAL? BUKAN MASANYA? Cuba fikirkan jika bukan sekarang beliau tunjukkan semangatnya, bila lagi? Ada yang mengatakan bahawa tunggulah sehingga Presiden bersara atau tidak lagi memegang jawatan Presiden. Akan tetapi, dari sudut pandang lain, sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar, apa sahaja visi pembaharuan yang ingin dibawa haruslah dilaksanakan sesegera mungkin-tidak dapat ditunggu atau ditangguhkan demi parti tercinta.
Oleh itu, berlandaskan prinsip dan etika pemilihan yang adil dan harmoni, usahlah kita sebagai anggota menambah semarak terhadap isu dan tohmahan yang dimainkan. Prinsip asas pemilihan dan mana-mana pilihanraya haruslah dihangatkan dan berfokus kepada perkara yang positif dan membangun-usahlah kehangatan pemilihan ini dicemari oleh sikap membuka pekung dan mengundang tanggapan negatif orang luar terhadap parti. Jika sekarang dalam tempoh pemilihan sudah menunjukkan teladan yang tidak beretika, bagaimana p**a sikap yang ingin dibawa sewaktu mentadbir dan membawa kebaikan kepada parti apabila sampai masanya nanti.
Hakikatnya, siapa pun yang bertanding dalam pemilihan, kita semua adalah adik beradik seperjuangan yang akan memimpin parti kearah Malaysia yang lebih baik.
LIDI SEIKAT TAK TERGUGAT DEK TANGAN YANG INGIN MEMATAH
Peribahasa ini sesuai untuk menggambarkan situasi semasa kita sebagai āadik-beradikā dalam mendepani cabaran semasa ini. Lidi tidak akan kuat andainya sebatang, tidak akan kotor sifat aslinya hanya kerana menjadi penyapu, tidak akan patah sekiranya berganding dan tidak akan terlerai sekiranya tiada tangan yang memutuskan tali ikatan.
Dalam kehangatan suasana pemilihan ini, anggota KEADILAN bersatulah menghadapi proses ini dengan damai, pemilihan ini bukan wadah berpecah, tetapi wadah untuk memperkuat. Siapa pun yang bertanding, itu adalah hak anggota sendiri-usahlah dibesarkan isu yang tidak sepatutnya demi meraih sokongan yang akhirnya membinasakan ikatan.
Pemilihan akan berlangsung, selesainya pemilihan, kembali fokus kepada tujuan utama-KEADILAN wadah untuk kesejahteraan rakyat.
KEADILAN PERMATANG PAUH