19/04/2026
Kami dari Nasi Kandar Line Clear ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak MYIPO, KPDN Selangor, SSM serta semua pihak yang terlibat atas tindakan tegas dan kerjasama yang telah diberikan.
Untuk makluman, pada tahun lalu pihak kami telah membuat laporan rasmi kepada KPDN berhubung penyalahgunaan cap dagangan “Nasi Kandar Line Clear” yang telah didaftarkan di bawah MYIPO. Laporan tersebut melibatkan dua premis yang didapati menyalahgunakan nama dan jenama kami tanpa kebenaran.
Alhamdulillah, hasil daripada laporan dan siasatan yang dijalankan, kedua-dua premis tersebut telah berjaya diserbu baru-baru ini melalui operasi bersama pihak KPDN dan SSM. Tindakan ini membuktikan kesungguhan pihak berkuasa dalam memastikan undang-undang dipatuhi serta melindungi hak pemilik cap dagangan daripada sebarang penyalahgunaan.
Isu ini bukan sahaja melibatkan kepentingan syarikat kami, malah turut melibatkan kepercayaan pelanggan serta integriti jenama yang telah kami bina sekian lama. Usaha seperti ini sangat penting dalam memastikan ekosistem perniagaan yang sihat, adil dan telus, sekaligus memberi keyakinan kepada para usahawan tempatan untuk terus berkembang. Dari pihak kami, ini juga menjadi peringatan bahawa perlindungan harta intelek adalah perkara yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Kami akan terus komited untuk menjaga kualiti, reputasi serta keaslian jenama Nasi Kandar Line Clear demi kepuasan pelanggan kami.
Sekali lagi, jutaan terima kasih kepada MYIPO, KPDN Selangor, SSM serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan usaha ini. 🙏