22/06/2021
RISIKO MEMILIKI TANAH PERTANIAN GERAN KONGSI PEMILIKAN BERSAMA.
Orang kata hidup berkongsi ni bukan semuanya indah.
Begitulah juga keadaannya bagi pemilik tanah pertanian geran kongsi pemilikan bersama.
Walaupun nama anda ada dalam geran, tetapi dalam jangka masa panjang banyak masalah yang mungkin akan timbul sekiranya anda memiliki tanah pertanian kategori ini.
Antara kelemahan memiliki tanah pertanian geran kongsi pemilikan bersama ini adalah:
1. Keluasan dan kedudukan sebenar bahagian tanah anda tidak dapat ditentukan dengan jelas dalam geran.
Ini kerana dari segi undang-undang, semua pemilik bersama di dalam satu geran pemilikan bersama akan berkongsi setiap bahagian dan sudut daripada tanah tersebut.
2. Pemilik bersama tidak boleh mendirikan rumah atas bahagian tanah milik nya. Ini kerana sebagaimana yang saya nyatakan di atas, keluasan dan kedudukan sebenar bahagian anda di atas tanah tersebut tidak dapat disahkan.
Keduanya, untuk tanah pertanian, hanya sebuah rumah/ bangunan sahaja boleh didirikan di atas satu ekar tanah. Itu pun dengan syarat rumah/ bangunan tersebut bukanlah suatu binaan kekal dan hanya bertujuan untuk menjaga kebun semata-mata dan keluasannya hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada keluasan tanah tersebut.
Bayangkan kalau semua pemilik bersama nak dirikan rumah kediaman atas tanah tersebut. Sudah pasti ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang justeru pembinaan tersebut adalah dianggap tidak sah dari segi undang-undang.
▶️Kesannya : tanah tersebut boleh dirampas & bangunan yang didirikan itu tidak akan diambil kira dalam nilaian tanah. Pihak berkuasa juga boleh arahkan bangunan tersebut dirobohkan dan pemilik juga boleh didenda.
3. Susah dan mungkin agak tidak praktikal untuk membangunkan atau mengusahakan sesuatu bahagian pemilik sahaja.
Kalaupun boleh dibangunkan ia akan timbul masalah kerana kedudukan sebenar bahagian anda di atas tanah tersebut tidak dapat disahkan.